01 November 2007

Semalam

Semalam,
Berlalu sudah satu memori
Memori pahit yang tiada terperi
Sehingga tidak dapat rasanya ku tanggung sendiri
Sebak di jiwa sedih di sanubari
Semalam,
Berakhir sudah suatu ikatan
Ikatan mesra yang bermula dari tali persahabatan
Yang tidak pernah menjadi satu peringatan
Buat dirimu yang sentiasa segar di dalam ingatan
Semalam,
Terlerai sudah segala harapan
Harapan yang tanpa belas engkau hancurkan
Di saat aku masih berpegang teguh pada janji yang dilafazkan
Biarpun sikap dan tingkah-lakumu itu amat mencalarkan
Semalam,
Serasa baru semalam hampir kering airmata ini ku titiskan
Mengenangkan nasib diri setelah dikecewakan
Oleh seorang insan yang amat ku harapkan
Sehingga aku sering berada di alam kealpaan
Semalam,
Rasanya baru semalam kita berkenalan
Di saat aku amat memerlukan
Belaian manja dan sentuhan seorang insan
Yang dapat membaluti segala kedukaan
Semalam,
Sungguh cepat masa berputaran
Belum sempat ku mengecapi akan erti sebuah kebahagiaan
Diriku kembali di dalam lembah kedukaan
Kedukaan dan kehampaan yang tiada berkesudahan
Semalam,
Ku tempuhi sudah hari semalam dengan penuh ketabahan
Walaupun perit dan pedihnya dapat ku rasakan
Namun aku masih menaruh harapan
Bahawa esok akan menjelangnya suatu sinaran
Semalam,
Akan ku biarkan kenangan semalam terus berlalu
Untuk ku nantikan ketibaan hari-hari yang semakin tidak menentu
Kenangan semalam yang ku lalui bersama diri mu
Akan tetap ku semat rapi di dalam ingatan ku …

No comments: