01 November 2007

Temanku Sayang...



Termenung sendiri sambil menatap di luar jendela
Ku capai sekeping kertas dan sebatang pena
Ku coretkan madah indah membuka bicara
Agar kamu tidak terus dibuai lena
Sesungguhnya hidup ini penuh dengan cabaran
Cabaran yang adakalanya begitu mencalarkan
Tempohilah ia dengan penuh kesabaran
Selagi masih ada ruang kesempatan

Lihatlah lambaian pokok-pokok yang mengikut alunan
Kepada tiupan angin dijadikan teman
Bila tikanya angin mengganas menjadi taufan
Runtuhlah tali ikatan sesebuah persahabatan
Gambaran ini hanyalah suatu panduan
Yang dapat ku beri sebagai peringatan
Sebagaimana akar pokok dipertahankan
Akar diikat menjadi simpulan
Supaya pokok tidak kekunduran
Bersatu-padu saling memperjuangkan
Walaupun panas dan hujan yang berpanjangan

Begitu juga kita yang diibaratkan
Sedang kita di saat yang berjauhan
Apakah kita mengerti akan erti persahabatan
Ataukah ianya hanya sebagai perhiasan melengkapi hidup seharian
Mungkin kekata ku ini amat mengelirukan
Walhal ianya begitu mudah untuk ku sampaikan
Tetapi ku hanya ingin mengambil peluang yang diberikan
Untuk kamu duduk dan hayati apa yang telah ku coretkan

Kehidupan di dunia ini bukanlah berkekalan
Ianya hanyalah sekadar pinjam-pinjaman
Sepanjang kita mengharungi sesebuah kehidupan
Kita tidak lepas dari menjalinkan persahabatan
Tali persahabatan yang terjalin ada kalanya amat memeningkan
Kerana kita sering menaruh terlalu tinggi harapan
Dan apabila harapan itu tidak kesampaian
Maka lenyaplah ikatan itu dan timbul dendam yang berpanjangan

Begitu mendalam ertinya sesebuah persahabatan
Terutama sekali di dunia yang penuh dengan kepura-puraan
Apakah masih ada seorang insan yang boleh ku gelar teman
Sedangkan diriku ini masih di dalam kekeliruan
Dunia ini diitirafkan sebagai sebuah pementasan
Dan insan-insan seperti kita inilah yang diberi keutamaan
Watak-watak yang diberikan terus kita lakonkan
Tanpa kita berfikir akan apa yang terjadi di masa hadapan

Apabila kita sudah berada di dalam suasana yang keterasingan
Barulah kita sedar dan terkapai-kapai mencari arah tujuan
Dengan berpaut hanya kepada secebis kenangan
Yang tanpa kita sedar dahulunya kita pernah diselubungi keresahan
Namun begitu dunia telah membuat kita khayal dalam kealpaan
Kita semakin lupa akan erti sebenar sesebuah tali persahabatan
Kita hanya bergantung kepada orang lain untuk bergerak ke hadapan
Tanpa memikirkan perasaan hati insan yang dikecewakan

Di saat kita berada di sisinya ketika diperlukan
Di saat kita berada di sisinya ketika dia dilanda kedukaan
Di saat kita berada di sisinya ketika dia di dalam kehampaan
Di saat kita berada di sisinya ketika dia terasa dipinggirkan

Pernahkah kita terfikir akan persoalan yang diajukan
Atau pernahkah kita terlintas dengan situasi yang telah dipaparkan
Atau adakah kita terlalu sibuk membawa watak di alam pementasan
Sehingga kita begitu terlena untuk mendengar sendu tangisan

Namun semua manusia tidak terlepas dari kesilapan
Kesilapan yang kadang-kalanya berpunca dari rasa keegoan
Keegoan yang terlalu tinggi untuk kita lenyapkan
Lenyapkan walau hanya untuk seketika yang diperlukan
Kita seperti manusia rapuh dan tercabar dalam menempuh arus kehidupan
Dunia yang diciptakan Tuhan dengan segala keperluan
Dunia yang telah dibahagikan antara kekayaan dan kemiskinan
Dunia yang semakin hari semakin gelap dirudung kekcewaan

Maafkanlah diriku ini seandainya diri mu tersinggung dengan coretan ini
Coretan yang ku anggap sebagai satu luahan hati
Bukan niat ku untuk menyinggung atau ingin menyindiri
Sebagaimana yang telah ku katakan ianya hanya buat tatapan sendiri
Semoga dijauhi prasangka buruk dan hasrat dengki
Agar persahabatan yang terjalin kekal abadi
Biarpun di saat nafas ku dicabut nanti
Akan ku tetap semat tali persahabatan ini di sudut hati

Kepada mu teman-temanku Ariana, Rabeah dan Roslinah
Tidak lupa juga kepada mu Sri Rahayu dan Shizarosiana
Sesungguhnya tiada ikatan lain yang lebih bermakna
Dari simpulan tali ‘Persahabatan’ yang sudah kita bina
Akhir kata dan ucapan khas dari diriku buat dirimu
Kenanglah daku di dalam doamu
Begitu juga akan ku lakukan buat dirimu
Semoga kalian tabah menghadapi liku-liku hidup yang kian tidak menentu…

No comments: